Hasrat Pucuk Pimpinan Ketengahkan Muka Baharu Dialu-Alukan, Namun Janganlah Calon ‘Mee Segera’ – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 2 Nov –  Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Salleh percaya hasrat pucuk pimpinan untuk mengetengahkan calon yang terdiri daripada kalangan muka-muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah untuk kesinambungan perjuangan parti itu sendiri.

Justeru katanya apa yang diketengahkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika pelancaran jentera PRN Melaka baru-baru ini amat dialu-alukan, namun amat diharapkan muka baru yang diketengahkan itu bukanlah calon ‘mee segera’.

“Saya yakin calon-calon muka baharu yang berjiwa rakyat ini sudah lama buat kerja. Di Melaka, rakyat akan memlih dan melihat kepada ‘track record’ seseorang calon berbanding dengan calon tiba-tiba (mee segera) selain rekod BN itu sendiri berbanding dengan parti lawan.

“Saya mengharapkan agar pengundi terus mengundi calon yang akan diketengahkan oleh BN nanti sekaligus dengan kemenangan itu kelak ianya akan memberikan satu sinar dan harapan baharu pada rakyat Melaka pada PRN nanti..dan insya-Allah kita sama-sama doakan UMNO dan BN boleh mencapai kemenangan kelak,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Jasin seterusnya mengharapkan agar pihak yang berkaitan dalam menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebagainya  dapat memberikan sedikit kelonggaran sepanjang tempoh berkempen PRN itu nanti.

“Kita sedar bahawa ancaman pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dalam apa jua keadaan keselamatan rakyat adalah yang paling utama…namun kita mengharapkan sedikit kelonggaran dalam SOP kempen nanti.

“Insya-Allah… kita akan patuh dan akur dengan apa jua SOP yang dikeluarkan dan ianya akan disesuaikan dengan bentuk kempen nanti. Apa pun jika tidak boleh berkempen dari rumah ke rumah ianya tidak menjadi masalah sekiranya calon yang tinggal bersama orang kampung dipilih dan begitulah sebaliknya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.