PRN: UMNO Melaka Tegas Tiada Kerjasama Dengan PPBM

KUALA LUMPUR, 1 Nov – UMNO Melaka bertegas tidak akan mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu 20 Nov ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, beliau serta Ketua-ketua UMNO seluruh negeri juga sudah menyatakan pendirian tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Dalam perbincangan kita secara bersama bahawa semua Ketua-ketua UMNO Bahagian Melaka menolak kerjasama dengan Bersatu, yang kita mahukan adalah memperkukuhkan lagi Muafakat Nasional bersama PAS.

“Saya fikir ini adalah ketetapan terakhir yang kita buat maknanya tidak ada lagi perbincangan atau apa-apa untuk hendak dilakukan untuk bersama dengan Bersatu kerana kita pada masa sekarang ini telah menyatakan pendirian bahawa kita tidak berbolak-balik lagi dengan keputusan ini.

“Maknanya pendirian kita adalah jelas, seluruh ketua-ketua serta ahli-ahli UMNO Bahagian di dalam negeri ini tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRN Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman serta Ketua-ketua UMNO bahagian negeri.

Sementara itu beliau berkata keputusan itu dibuat berlandaskan pengalaman terdahulu yang dihadapi mereka ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) di mana kepimpinan Bersatu pusat dan negeri mengeluarkan pelbagai kenyataan dan tindakan yang tidak menyenangkan hati ahli-ahli UMNO.

“Saya ingin jelaskan sikit ini adalah kerana kepimpinan Bersatu tidak menunjukkan satu sifat sebagai pemimpin yang baik semasa berada di puncak kuasa ketika kerajaan PN mentadbir.

“Ketika beliau bersama dengan PH kita menyaksikan mereka banyak menekan dan memberikan tindakan yang amat tidak menyenangkan hati ahli-ahli UMNO. Semasa pembentukan kerajaan PN langsung tidak memberikan ruang kepada pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat kampung terutama dalam Dewan Undangan Negeri Paya Rumput dengan menyisihkan ketua-ketua UMNO di kampung tersebut dengan tidak memberikan satu jawatan pun dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Jadi banyak perkara yang beliau lakukan amat mengguris hati dan perasaan ahli-ahli UMNO itu sebab sentimen itu dibawa sehingga ke hari ini,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.