Menteri, Timbalan Menteri Angkat Sumpah Jawatan Di Hadapan Agong

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Seramai 30 menteri dan 37 timbalan menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara di sini.

Turut berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mereka diumum menganggotai saf pentadbiran kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Jumaat lepas yang terdiri daripada 31 menteri termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri.

Dua daripada mereka tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Mereka ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif COVID-19.

Perdana Menteri, yang dijadual hadir, turut tidak dapat berbuat demikian kerana menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini setelah disahkan menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

Berlangsung di Balairung Seri mulai 2.30 petang, istiadat itu bermula dengan lagu kebangsaan ’Negaraku’ dimainkan.

Ia kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia serta majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Istiadat berkenaan diadakan secara berkumpulan dengan barisan menteri dibahagikan kepada lima kumpulan manakala timbalan menteri enam kumpulan.

Kumpulan pertama menteri seramai tujuh orang terdiri daripada empat Menteri Kanan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Gombak), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein – Menteri Pertahanan (Sembrong), Datuk Seri Fadillah Yusof – Menteri Kerja Raya (Petra Jaya) dan Senator Dr Mohd Radzi Jidin – Menteri Pendidikan.

Tiga lagi dalam kumpulan itu ialah Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan (Tapah).

Kumpulan kedua:
1. Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak) (Ahli Parlimen Kota Marudu)
2. Datuk Seri Dr Ronald Kiandee – Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Beluran)
3. Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man – Menteri Alam Sekitar dan Air (Kubang Kerian)
4. Datuk Seri Hamzah Zainudin – Menteri Dalam Negeri (Larut)
5. Datuk Seri Alexander Nanta Linggi – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Kapit)
6. Datuk Seri Takiyuddin Hassan – Menteri Tenaga dan Sumber Asli (Kota Bharu)
7. Datuk Seri Dr Noraini Ahmad – Menteri Pengajian Tinggi (Parit Sulong)
Kumpulan ketiga
1. Datuk Seri Rina Mohd Harun – Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Titiwangsa)
2. Tan Sri Annuar Musa – Menteri Komunikasi dan Multimedia (Ketereh)
3. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kepala Batas)
4. Khairy Jamaluddin – Menteri Kesihatan (Rembau)
5. Datuk Halimah Mohamed Sadique – Menteri Perpaduan Negara (Kota Tinggi)
6. Datuk Seri Dr Adham Baba – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Tenggara)
7. Datuk Seri Mustapa Mohamed – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) (Jeli)

Kumpulan keempat
1. Datuk Saifuddin Abdullah – Menteri Luar (Indera Mahkota)
2. Datuk Dr Zuraida Kamaruddin – Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (Ampang)
3. Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) (Mersing)
4. Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) (Santubong)
5. Datuk Seri Nancy Shukri – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Batang Sadong)

Kumpulan kelima
1. Datuk Seri Mahdzir Khalid – Menteri Pembangunan Luar Bandar (Padang Terap)
2. Datuk Seri Shahidan Kassim – Menteri Wilayah Persekutuan (Arau)
3. Datuk Seri Faizal Azumu – Menteri Belia dan Sukan (Tambun)
4. Senator Idris Ahmad – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Istiadat kemudian menyaksikan giliran 37 timbalan menteri pula mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebelum diakhiri dengan sesi bergambar barisan menteri dan timbalan menteri dengan Seri Paduka berdua. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.