Belanjawan 2027: Empat Tuntutan Utama Rakyat Labuan

LABUAN, 1 Okt – Kerajaan Persekutuan disaran memberikan keutamaan lebih besar kepada Wilayah Persekutuan Labuan dalam Belanjawan 2027, khususnya dalam menangani kos sara hidup, peluang pekerjaan, masalah bekalan air dan pemerkasaan semula status bebas cukai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Alli Hassan, berkata empat perkara berkenaan merupakan antara isu utama yang perlu diberikan perhatian demi masa depan rakyat serta pembangunan ekonomi pulau berkenaan.

Beliau berkata, Labuan mempunyai kedudukan strategik di Borneo kerana terletak di antara Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam serta menghadap Laut China Selatan.

Menurutnya, kedudukan itu memberi Labuan potensi besar untuk berkembang sebagai salah satu pusat ekonomi dan perdagangan penting di rantau ini.

“Labuan bukan sekadar sebuah pulau kecil. Labuan mempunyai potensi besar serta kedudukan yang amat strategik di kepulauan Borneo.

“Kedudukannya seharusnya menjadikan Labuan antara pemacu ekonomi penting negara di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Mohd Rafi berkata, isu pertama yang perlu diberikan perhatian ialah kos sara hidup rakyat Labuan, khususnya kesan kos pengangkutan dan logistik terhadap harga barangan keperluan.

Katanya, faktor geografi sebagai sebuah pulau menyebabkan kos membawa masuk barangan menjadi antara cabaran utama yang akhirnya ditanggung pengguna.

“Kita memerlukan mekanisme yang lebih berkesan termasuk bantuan atau subsidi pengangkutan barangan asas supaya rakyat Labuan tidak terus menanggung kos yang lebih tinggi hanya kerana faktor geografi,” katanya.

Beliau berkata, perkara kedua ialah memperkukuh ekonomi Labuan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, terutama kepada golongan muda.

Katanya, Labuan mempunyai asas ekonomi yang kukuh dalam sektor minyak dan gas, kewangan antarabangsa, maritim serta perkhidmatan yang boleh terus dikembangkan.

“Kita mahu lebih banyak aktiviti hiliran, industri baharu dan pelaburan strategik dibawa masuk supaya peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan, khususnya untuk anak-anak muda Labuan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan sektor baharu juga penting bagi memastikan anak-anak Labuan mempunyai lebih banyak pilihan kerjaya tanpa perlu berhijrah ke negeri lain untuk mendapatkan pekerjaan.

Dalam pada itu, Mohd Rafi turut menggesa kerajaan memberikan peruntukan khusus bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Labuan secara menyeluruh.

Katanya, gangguan bekalan air yang berulang memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat dan aktiviti ekonomi setempat.

“Air adalah keperluan asas, bukan kemewahan. Saya berharap peruntukan khusus dapat diberikan untuk memperkukuhkan infrastruktur air, meningkatkan kapasiti bekalan serta meneroka sumber alternatif termasuk teknologi desalinasi air laut sebagai sebahagian penyelesaian jangka panjang,” katanya.

Mohd Rafi turut berharap kerajaan menilai semula dasar berkaitan status dan keistimewaan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai.

Menurutnya, keistimewaan berkenaan mempunyai nilai ekonomi dan sejarah yang besar serta berpotensi membantu menghidupkan semula sektor pelancongan, perdagangan dan perniagaan tempatan.

“Kita mahu melihat semula bagaimana keistimewaan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai dapat diperkasakan agar manfaatnya benar-benar dirasai rakyat dan pemain ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata, empat perkara berkenaan bukan sekadar senarai permintaan, sebaliknya mencerminkan suara dan harapan rakyat Labuan yang mahu melihat pulau itu kembali berkembang.

“Dengan perhatian dan komitmen Kerajaan Persekutuan, Labuan mampu bangkit semula sebagai sebuah pulau ekonomi yang penting di Borneo iaitu bukan sahaja untuk rakyat Labuan, tetapi untuk pembangunan Sabah, Sarawak dan Malaysia keseluruhannya.

“Labuan sangat berpotensi. Yang diperlukan ialah keberanian untuk memberi Labuan peluang untuk bangkit semula,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO