Majlis Ulama UMNO Gesa Tindakan Tegas Terhadap Ajaran New Age Movement

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Majlis Ulama UMNO Malaysia menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan wajar terhadap fahaman New Age Movement (NAM), termasuk kepercayaan berkaitan Law of Attraction, yang didakwa bercanggah dengan konsep tauhid dan akidah Islam.

Dalam kenyataan media hari ini, Pengerusinya, Datuk Dusuki Ahmad berkata, fahaman berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana didakwa boleh membawa kepada kekufuran.

“Majlis Ulama UMNO Malaysia menyeru umat Islam agar berwaspada terhadap fahaman New Age Movement (NAM) iaitu kepercayaan berkaitan Law of Attraction kerana ajaran tersebut amat menyeleweng dan bercanggah dengan konsep tauhid dan akidah Islam. Ianya boleh membawa kepada kufur,” katanya.

Beliau berkata, JAKIM sebagai sekretariat agama kepada majlis-majlis agama Islam negeri sewajarnya melihat isu itu dengan serius bagi menjaga kemurnian agama Islam.

Majlis Ulama UMNO Malaysia turut mendakwa fahaman berkenaan bercanggah dengan konsep semangat Kerajaan Madani yang didokong kerajaan ketika ini.

Menurut kenyataan itu, hujah yang menyatakan ajaran NAM selaras dengan semangat maqasid syariah merupakan penyalahgunaan hukum terhadap ajaran Islam.
“Maqasid syariah mesti difahami berpandukan nas dan kaedah ilmu yang muktabar,” katanya.

Majlis Ulama UMNO Malaysia turut menyeru supaya sebarang ajaran asing melalui tapisan dalil naqli dan aqli berteraskan metodologi Ahli Sunnah Wal Jamaah sebelum disahkan sebagai benar dan boleh diamalkan.

“Jauhilah kegopohan mentafsir agama serta memetik dalil diluar konteks, semata-mata untuk membenarkan sesuatu kebatilan,” katanya.

Dalam pada itu, Majlis Ulama UMNO Malaysia juga menggesa siasatan dijalankan JAKIM bersama panel pakar ilmuan bagi membantu Perdana Menteri membersihkan Kerajaan Madani daripada sebarang anasir yang membangkitkan kemarahan ramai dalam kalangan umat Islam.

“Majlis Ulama UMNO Malaysia juga menuntut agar isu ini diangkat ke pengetahuan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan dipersembahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu kerana ianya telah tular dan merebak di dalam masyarakat dan melibatkan ramai individu pemegang jawatan yang tinggi dalam kerajaan khususnya mereka yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO