Terima Kasih TPM, Jalan Kampung Parit Keroma Dinaik Taraf
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas peruntukan yang diluluskan bagi pelaksanaan projek menaik taraf jalan di Parit Keroma Darat.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan amat penting bagi memastikan penduduk setempat menikmati kemudahan jalan yang lebih selamat dan selesa.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas peruntukan yang telah diluluskan bagi pelaksanaan projek menaik taraf jalan kampung di Parit Keroma Darat, DUN Simpang Jeram.
“Kerja-kerja ini amat penting bagi memastikan kemudahan jalan yang lebih selamat, selesa dan baik untuk kegunaan penduduk setempat.
“Semoga usaha sebegini dapat terus memberi manfaat dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan luar bandar. Terima kasih dan syabas kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azman turut menerima kunjungan daripada para peniaga dan penjaja kecil daerah Muar bagi mendapatkan pandangan serta mendengar secara langsung isu yang dihadapi oleh mereka.
“Terima kasih atas kesudian hadir untuk berkongsi pandangan, menyampaikan cadangan serta membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh golongan peniaga dan penjaja setempat.
“Insya Allah, segala pandangan dan permasalahan yang disampaikan akan diberi perhatian dan diusahakan sebaik mungkin demi membantu kelangsungan serta perkembangan ekonomi peniaga dan penjaja di daerah Muar.
“Semoga hubungan dan kerjasama yang terjalin ini terus diperkukuhkan demi manfaat bersama,” ujarnya. – UMNO Online
