‘Pilih Tren Elak Trafik, Sekali Tambang Naik’ – Suraya
KUALA LUMPUR, 1 Okt – “Kami selalu naik ni… sebab nak naik kereta memang jauh, trafik pun teruk, tol pun agak tinggi. Jadi, naik pula.”
Demikian luahan Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob, susulan pengumuman pelarasan tambang KLIA Ekspres dan KLIA Transit yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2027.
Menurut beliau, keputusan menaikkan tambang KLIA Ekspres daripada RM55 kepada RM65 bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan KLIA menimbulkan persoalan dari sudut beban yang perlu ditanggung pengguna, khususnya mereka yang memilih pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan kos perjalanan menggunakan kenderaan persendirian.
“Kalau naik kereta, perjalanan jauh, trafik pula teruk dan tol pun bukan murah. Sebab itu kita pilih tren.
“Bila pengangkutan yang sepatutnya menjadi pilihan untuk mengelakkan kesesakan dan memudahkan perjalanan pula naik tambang, rakyat tentunya akan melihat semula soal kos keseluruhan untuk bergerak,” katanya.

Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata, isu tersebut bukan semata-mata mengenai kenaikan RM10, tetapi perlu dilihat dalam konteks perbelanjaan harian rakyat yang semakin memerlukan pertimbangan teliti.
“Jangan sampai rakyat terpaksa memilih antara hadap trafik dan tol yang tinggi atau bayar lebih untuk pengangkutan awam.
“Persoalannya bukan sekadar naik atau tidak naik tapi bila tambang naik, apa yang rakyat dapat?” katanya.
Beliau turut menyentuh persoalan yang mungkin bermain di fikiran pengguna apabila kos perkhidmatan rel meningkat.
“Train ini pakai petrol juga ya?” katanya secara berseloroh, sambil menimbulkan persoalan mengenai asas kenaikan tambang dan bagaimana struktur kos operasi perkhidmatan tersebut ditentukan.
Bagi Suraya, persoalan yang lebih besar ialah bagaimana memastikan pengangkutan awam terus menjadi pilihan yang praktikal dan berpatutan kepada rakyat.
“Rakyat bukan tidak mahu guna pengangkutan awam. Ramai yang memang mahu naik tren sebab lebih mudah, tidak perlu hadap kesesakan dan boleh sampai ke destinasi dengan lebih teratur.
“Jadi apabila tambang naik, rakyat berhak bertanya, apakah justifikasi kenaikan itu dan apakah penambahbaikan yang akan mereka terima sebagai pengguna?” katanya.
Untuk rekod, KLIA Ekspres menggunakan sistem kuasa elektrik melalui talian atas, bukannya petrol. Dalam pengumumannya semalam, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memaklumkan tambang standard sehala KL Sentral-KLIA akan meningkat kepada RM65, manakala tambang pergi balik menjadi RM118 mulai 1 Januari 2027. – UMNO Online
