Janji Politik PH Dipersoal, Anthony Loke Tak Jadi Letak Jawatan?
KUALA LUMPUR, 1 Okt – Persoalan mengenai konsistensi pendirian dan pelaksanaan janji politik Pakatan Harapan (PH) dipersoal susulan perkembangan terbaharu membabitkan Setiausaha Agung Dap, Anthony Loke.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, rakyat perlu menilai sejauh mana janji yang dibuat ketika mendapatkan sokongan diterjemahkan apabila sesuatu gabungan sudah berada dalam kerajaan.
“Tabur janji dan khianat janji dah sinonim dengan PH. Ketika mahukan undi, segala janji manis ditabur untuk memikat hati rakyat.
“Bila kuasa sudah dalam genggaman, janji mula bersyarat, alasan pula bertambah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh berkata demikian ekoran pendirian Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berhubung kedudukannya dalam Kabinet selepas beliau mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu.
Sebelum ini Anthony Loke mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan pendirian Dap berhubung keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Mengulas perkembangan tersebut, Razlan berkata rakyat tidak seharusnya hanya melihat kepada pengumuman atau retorik politik, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada tindakan sebenar selepas sesuatu janji dibuat.
“Rakyat bukan mahu dengar alasan demi alasan. Rakyat mahu melihat janji yang dibuat diterjemahkan dalam bentuk tindakan,” katanya.
Ujarnya, perkembangan terkini sewajarnya menjadi ruang untuk rakyat menilai semula makna sebuah janji politik, khususnya apabila sesuatu parti berdepan situasi yang menguji pendirian serta komitmen yang pernah dinyatakan kepada pengundi.
“Jangan ketika mahu undi semuanya boleh dijanjikan, tetapi apabila sudah mendapat kuasa, rakyat pula yang diminta memahami alasan dan keadaan.
“Rakyat berhak menilai dan bertanya, apakah janji itu benar-benar menjadi prinsip atau hanya menjadi modal ketika pilihan raya,” katanya.
Terbaharu, Anthony Loke menjelaskan bahawa beliau masih menjalankan tugas sebagai Menteri Pengangkutan ekoran diminta berbuat demikian oleh Perdana Menteri dan berkata peletakan jawatannya akan berkuat kuasa apabila Najib keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah. – UMNO Online
