Mahdzir Tekad Utamakan Agenda Perkasa Masyarakat Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memulakan tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar secara rasmi hari ini, berjanji akan memastikan agenda pemerkasaan masyarakat luar bandar terus utamakan.

Beliau berkata pelantikannya untuk menerajui kementeraian itu adalah amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul, demi memastikan kelancaran pentadbiran negara dan juga kemajuan luar bandar serta masyarakatnya.

Katanya pengalaman sepanjang karier politiknya akan dijadikan bekalan untuk memastikan segala agenda pemerkasaan masyarakat luar bandar sebagai salah satu agenda utama kementerian itu.

“Saya juga beriltizam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan, jujur dan berintegriti demi memastikan negara kita terus bergerak maju ke hadapan, terutama dalam usaha kita menangani pandemik COVID-19 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahdzir antara 30 menteri dan 37 timbalan menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Ahli Parlimen Padang Terap itu turut merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Seri Paduka atas perkenan Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap bagi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberikan terhadap beliau untuk menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Tidak lupa juga saya merakamkan ucapan terima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO khususnya Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, seluruh kepimpinan parti, rakan Ahli Parlimen, pimpinan parti-parti politik dan seluruh warga Malaysia yang dikasihi sekalian,” katanya.

Sementara itu KPLB dalam kenyataan berasingan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Mahdzir serta Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebagai Timbalan Menteri I dan DatukHasbi Habibollah sebagai Timbalan Menteri II yang baharu.

Menurut kenyataan itu, KLPB terus komited dan sentiasa memberi kerjasama serta sokongan kepada kepimpinan baharu itu dalam melaksanakan inisiatif membangun dan memajukan luar bandar untuk kesejahteraan masyarakat luar bandar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.