Dasar Kementerian Wilayah Persekutuan Diteruskan – Shahidan

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Dasar-dasar Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang diperkenalkan pendahulu akan diteruskan, kata Menteri Wilayah Persekutuan baharu Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Dasar sedia ada akan diteruskan macam biasa,” katanya dalam satu sidang media selepas memulakan tugas secara rasmi di KWP di sini hari ini usai majlis sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Shahidan dan timbalannya Datuk Seri Jalaluddin Alias adalah antara menteri kabinet dan timbalan menteri yang berada di Istana Negara bagi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Setia Serta Sumpah Setia Barisan Menteri Dan Timbalan Menteri hari ini.

“Kami akan berjumpa dari semasa ke semasa dan Insya-Allah kami akan buat yang terbaik, terutamanya apabila diberi penekanan mengenai pencapaian 100 hari,” kata Shahidan yang pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi tempoh 2013 hingga 2018.

Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini disandang Tan Sri Annuar Musa. Annuar kini adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.