Akses Kepada Kemudahan Internet Hak Asasi Manusia – Annuar

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Tan Sri Annuar Musa yang memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia hari ini menekankan bahawa akses kepada kemudahan Internet dianggap sebagai hak asasi manusia selain daripada keperluan asas seperti pakaian, makanan dan tempat berteduh.

Beliau berkata akses Internet merupakan satu perkara keutamaan yang akan beliau beri perhatian ketika menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Beliau berkata selain program Jalinan Digital Negara (Jendela), akses kepada kemudahan Internet perlu dilihat secara keseluruhan kerana untuk menjadi sebuah negara maju dan moden, maka aspek kemudahan Internet dan berkaitan dengannya perlulah bertaraf dunia.

“Kita tahu negara ini adalah sebuah negara pesat membangun, ada kawasan bandar dan luar bandar, sekali-sekala kita dapat melihat bagaimana anak-anak kena panjat pokok tidak mendapat kemudahan dan sebagainya. Ini semua tidak boleh dipandang begitu sahaja.

“Saya percaya KKMM ada usaha-usaha tertentu, sudah tentu program Jendela satu daripadanya dan ‘roll-out’ sedang dilaksanakan tapi kita akan lihat kepada semua ini. Akses kepada kemudahan Internet perlu dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia,” katanya kepada pemberita selepas memulakan tugas secara rasmi di KKMM di sini.

Annuar berkata KKMM merupakan nadi utama dalam pembentukan sesebuah kerajaan terutama dalam memastikan penyampaian maklumat kepada rakyat adalah tepat.

“Kita tahu kita ada banyak cabaran yang perlu diuruskan lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 belum selesai. Kementerian kita ini adalah nadi utama kepada pembentukan sesebuah kerajaan, merupakan saluran maklumat untuk menghubungkan rakyat dengan rakyat, kerajaan dengan rakyat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata berkhidmat di KKMM adalah tanggungjawab yang penting dan cabarannya juga besar kerana harapan rakyat adalah menggunung dalam hal berkaitan komunikasi dan multimedia serta ketika berada dalam dunia teknologi maklumat.
“Dalam dunia sekarang kehidupan tidak sempurna tanpa kemudahan Internet. Melebarkan perkhidmatan (Internet) ini menjadi milik dan dinikmati setiap rakyat juga cabaran besar, sementara itu penyiaran, penerangan juga penting dan mencabar,” katanya.

Annuar berkata beliau akan mendengar taklimat daripada pengurusan tertinggi dalam ‘seminggu dua’ untuk memahami selok-belok pengurusan dan pentadbiran serta ruang lingkup tanggungjawab KKMM.

Beliau turut menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu melihat hasil dalam 100 hari pertama bagi setiap menteri, dan memberi jaminan akan mengusahakan perkara utama yang perlu segera dilaksanakan.

Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada pendahulu Datuk Saifuddin Abdullah yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan bercadang bertemu beliau untuk mendapatkan panduan serta menyambung beberapa program yang belum sempat dilaksanakan.

Katanya, beliau mengambil pendekatan terbuka untuk membantu KKMM lebih cemerlang serta mendengar keluh-kesah, suara hati naluri rakyat agar lebih sensitif dan responsif kepada tuntutan dan keperluan mereka dari semasa ke semasa.

Annuar sebelum ini pernah memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar, Menteri Belia dan Sukan, dan Menteri Wilayah Persekutuan. – BERNAMA