Sambutan Hari Kebangsaan Tetap Dijayakan Sebaik Mungkin

PUTRAJAYA, 29 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2021 akan tetap dijayakan dengan sebaik mungkin walaupun dalam suasana negara masih berperang dengan pandemik COVID-19, kata Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata segala persiapan perjalanan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini telah dirancang sebaik mungkin, bagi memastikan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sambutan pada tahun ini diadakan secara fizikal namun jumlah peserta dan tetamu, dihadkan seperti hanya 50 orang tetamu sahaja dibenarkan hadir tanpa sebarang penonton di lapangan.

“Dari segi persembahan juga dihadkan maksima 400 orang kesemua sekali. Tetapi persembahan secara bergilir-gilir supaya pada setiap satu masa jumlahnya tidak melebihi 100 orang melakukan persembahan, dan dapat mematuhi penjarakan fizikal,” katanya kepada media hari ini selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2021 di sini.

Annuar dinamakan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, dalam pengumuman pembentukan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.

“Saya berpuas hati dengan segala persiapan, terutama sekali dari segi susunan perjalanan sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza dengan tahun lalu,” katanya serta menambah sambutan tahun ini boleh ditonton melalui kaca televisyen, dengan pelbagai input dan program yang telah disediakan.

Annuar turut berharap, agar keadaan cuaca pada hari kemuncak sambutan pada 31 Ogos ini (Selasa), adalah baik bagi membolehkan segala perancangan persembahan dilaksanakan sebaik mungkin.

Menurutnya, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan bagi pertunjukan udara (air show) dilakukan, ‘Pelan B’ sempena sambutan Hari Kebangsaan itu akan dilaksanakan dengan lebih ringkas, tanpa pertunjukan udara.

Annuar dalam pada itu menyeru setiap lapisan masyarakat, mendokong semangat Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan, serta mempamerkan kebersamaan dan keyakinan untuk menang memerangi pandemik COVID-19.

“Dengan satu keyakinan untuk menang bersama, kerana kita tahu segala rancangan terutamanya Pelan Pemulihan Negara yang sedang kita laksanakan ini, akan dapat kita sempurnakan dan akhirnya rakyat negara kita benar-benar dapat dimerdekakan dari wabak yang merbahaya ini. Ini akan dilakukan secara muafakat, secara kerjasama dalam kalangan seluruh Keluarga Malaysia kita,” katanya.

Konsep Keluarga Malaysia, diperkenalkan oleh Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, yang mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum, bersama-sama untuk memulihkan semula keadaan negara ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.