KKM, MOSTI Diarah Pastikan Kadar Vaksinasi Enam Negeri Capai 50 Peratus Sebelum Akhir September

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) diberikan tempoh sehingga akhir bulan depan untuk memastikan enam negeri mencapai kadar vaksinasi COVID-19 sebanyak 50 peratus bagi populasi dewasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata enam negeri yang mencatatkan vaksinasi kurang daripada 50 peratus itu adalah Perak (46.5 peratus), Terengganu (46.2 peratus), Johor (44.9 peratus), Kedah (43.2 peratus), Kelantan (43.1 peratus) dan Sabah (37.1 peratus), setakat semalam.

“Saya mahu sebelum akhir September semua enam negeri ini kadar vaksinasi telah melebihi 50 peratus (untuk populasi dewasa), tak mahu ada negeri yang kurang daripada itu,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan pemberian suntikan vaksin COVID-19 dos yang ke satu juta di pusat pemberian vaksin World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV WTCKL) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar, beliau telah mengarahkan pihak MOSTI supaya menggunakan bekalan vaksin sedia ada dalam negara dan tidak menunggu sehingga tempahan vaksin tertentu tiba.

“Jika vaksin kita tempah ada masalah penghantaran, tak perlu tunggu vaksin itu, sebaliknya beralih kepada vaksin sedia ada. Contohnya Pharmaniaga Berhad yang membotolkan Sinovac, mereka sentiasa sedia dengan vaksin di kilang mereka,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri berkata penghantaran 200,000 vaksin dos tunggal CanSino ke Sabah dapat membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negeri itu.

Ismail Sabri menegaskan beliau tidak mahu rakyat menjadi mangsa COVID-19 disebabkan kelewatan pemberian vaksin hanya gara-gara pihak yang bertanggungjawab terpaksa menunggu penghantaran vaksin jenis tertentu daripada syarikat pembekal.

“Kita ada tempah melalui sebuah syarikat 500,000 dos tapi mereka lewat… kita akan ambil vaksin Sinovac. Kita tidak mahu ada gangguan terhadap PICK disebabkan syarikat (tertentu) gagal menghantar bekalan,” katanya.

Mengulas isu sama, Ismail Sabri memberi bayangan Lembah Klang boleh beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan kadar vaksinasi bagi populasi dewasa kini 89.5 peratus.

“Kalau 89 peratus mungkin dah boleh ke fasa seterusnya (PPN) kerana telah hampir 90 peratus dan mungkin banyak negeri juga boleh ke fasa seterusnya. Tunggulah pengumuman nanti,” katanya sambil menambah perkara itu akan dibincangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 akan datang.

Mengenai program hari ini, perdana menteri mengucapkan tahniah kepada PPV WTCKL kerana berjaya merekodkan pemberian suntikan vaksin AstraZeneca dos ke satu juta di Lembah Klang di bawah PICK.

Dibuka khas untuk pengendalian vaksin AstraZeneca, PPV WTCKL merupakan PPV Mega pertama yang diwujudkan dengan kapasiti awal sebanyak 8,000 dos sehari sebelum ditingkatkan kepada 18,000 dos suntikan pada 19 Julai lepas. – BERNAMA