Dua Lokaliti Di Sabah, Satu Di Johor Dikenakan PKPD Bermula 31 Ogos Ini – MKN

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Dua lokaliti di Sabah dan satu di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 31 Ogos hingga 13 Sept ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad.

PKPD di Sabah melibatkan Kampung Bukit Gemuk, Tawau dan Kampung Nasakot, Ranau, manakala PKPD di Johor melibatkan Kampung Nelayan Benut, Mukim Sungai Pinggan di Pontian.

“Sementara itu hanya satu kawasan PKPD yang dilanjutkan iaitu Taman Megah Jaya (Lorong 2,3,9 dan 10) di Tawau, Sabah bermula 31 Ogos hingga 13 Sept ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKPD di tiga lokaliti di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Mantanau, Kampung Pirasan Ulu dan Kampung Suang Punggur pula akan ditamatkan esok mengikut jadual.

Turut ditamatkan esok seperti dijadualkan ialah PKPD di Kampung Bukit Cina, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu dan 19 lokaliti di Mukim Kuala Dungun serta 14 lokaliti di Mukim Sura, Dungun juga di Terengganu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.