Menteri UMNO Zahir Penghargaan, Tekad Jalankan Tugas Bersungguh-sungguh

PUTRAJAYA, 27 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ yang merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Khairy Jamaluddin yang dipertanggungjawab menerajui Kementerian Kesihatan menzahirkan penghargaan kepada perdana menteri atas pelantikannya dan akan menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh.

“Terima kasih kepada YAB PM, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberi. Insya-Allah, amanah yang sangat berat ini akan saya pikul dengan bersungguh demi Keluarga Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertukar portfolio sebagai Menteri Pertahanan memberi jaminan akan menggalas tugas sebaiknya demi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sangat berjasa kepada negara.

“Kepercayaan PM Ismail Sabri Yaakob untuk saya kembali menerajui Kementerian Pertahanan Malaysia amat dihargai. Insya-Allah, will do my utmost best (saya akan melakukan yang terbaik),” kata Ahli Parlimen Sembrong itu dalam hantaran di laman Twitternya.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula yang menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi catatan di Twitter pula berkata : “Terima Kasih YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob @IsmailSabri60 atas kepercayaan kepada saya mengkhidmati Keluarga Malaysia di @kpkt_gov . Segalanya Demi Malaysia.”
Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaludin Alias yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan menyifatkan tanggungjawab baharu itu sebagai amanah dan cabaran serta berazam memberikan perkhidmatan terbaik

“Saya juga ingin mengingatkan kepada diri ini bahawa lantikan ini satu cabaran untuk memenuhi aspirasi kerajaan dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat dan bukan setakat mengisi kekosongan jawatan (timbalan menteri),” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.