Hishammuddin Kembali Jadi Menteri Pertahanan Dalam Kerajaan Berbeza

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini kembali semula menganggotai barisan Kabinet baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang memiliki pengalaman luas dalam kerajaan, kembali ke jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan – jawatan yang dipegangnya semasa era pentabiran Barisan Nasional (BN) pada 2013, di bawah pentadbiran perdana menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hishammuddin, 60, sebelum ini memegang jawatan Menteri Kanan Luar (Kluster Keselamatan) semasa era pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan, yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas.

Bendahari Agung BN itu yang pernah mempunyai firma guaman sendiri antara tahun 1989 hingga 1993, juga dikenali sebagai seorang pemimpin berperwatakan tenang ketika berhadapan krisis dan dalam mengatur hubungan diplomasi dengan pelbagai negara.

Hishammuddin, yang mengekalkan kerusi Parlimen Sembrong untuk empat penggal berturut-turut itu, menceburi bidang politik pada usia 28 tahun sebaik tamat pengajian dengan menyertai UMNO cawangan Sungai Mati, Johor pada tahun 1989.

Beliau pernah menjadi Naib Presiden UMNO itu memulakan karier dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sejak 1995 apabila dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu kemudian dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 1997, Menteri Belia dan Sukan (1999), Menteri Pelajaran (2004-2009) dan seterusnya Menteri Dalam Negeri pada 2009.

Pada 2013, beliau yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan turut memangku jawatan Menteri Pengangkutan, sebelum dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas yang bertanggungjawab memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada tahun 2014 berikutan pencerobohan di timur Sabah.

Hishammuddin yang lahir pada 5 Ogos 1961 di Kuala Lumpur, mendirikan rumah tangga dengan Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah pada 1986 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nasha Alyssa, Farris Hussein, Kyra Arianna dan Fahd Hussein.

Anak kepada Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn dan cucu kepada Pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar itu mendapat pendidikan awal di Sekolah St John’s Kuala Lumpur, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Cheltenham Boys College di United Kingdom.

Selepas tamat pengajian graduan Undang-undang dari University of Wales, United Kingdom dan London School of Economics, United Kingdom, beliau memulakan karier pertamanya sebagai peguam. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.