Annuar Komited Rangka Hala Tuju KKMM Yang Lebih Proaktif

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Tan Sri Annuar Musa yang dilantik menerajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited untuk merangka hala tuju kementerian agar lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara bagi memastikan Keluarga Malaysia memperoleh manfaat.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata KKMM mempunyai peranan sangat penting, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berhadapan pelbagai cabaran seperti pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi, keperluan pemerkasaan sektor digital, serta pembelaan kehidupan rakyat.

“Insya-Allah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin,” katanya serta menjunjung kasih perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya dalam Kabinet pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang berpegalaman menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia kesembilan,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Ismail Sabri kerana memilih menganggotai barisan Kabinet, Annuar berkata kepercayaan dan amanah yang diberikan adalah satu penghormatan yang amat besar buat dirinya, rakyat di Parlimen Ketereh serta UMNO dan Barisan Nasional yang beliau wakili.

Ismail Sabri hari ini mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ melibatkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan yang akan menjadi pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, selain 38 timbalan menteri. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.