Tiada Pengumuman Kabinet Hari Ini – PMO

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Senarai barisan menteri kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan diumumkan hari ini.

“Tiada pengumuman dibuat oleh YAB PM hari ini,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Banyak pihak membuat spekulasi bahawa senarai nama barisan menteri kabinet itu akan diumumkan hari ini selepas Ismail Sabri menyerahkan senarai cadangannya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang hari ini.

Kumpulan media dilihat ‘berkampung’ di beberapa lokasi utama kerana menunggu pengumuman itu, termasuk di Istana Abdulaziz dan pejabat perdana menteri di Perdana Putra.

Ismail Sabri tiba di Perdana Putra pada kira-kira pukul 3.40 petang selepas kembali dari Pahang dan hanya melambaikan tangannya kepada petugas media yang menunggu di sekitar bangunan itu.

Ismail Sabri, 61, yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 21 Ogos lepas, sebelum ini dilaporkan akan membuat pengumuman mengenai barisan kabinetnya dalam minggu ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.