PM Menghadap Agong, Dipercayai Persembah Cadangan Senarai Kabinet

KUANTAN, 26 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dipercayai bagi mempersembahkan cadangan senarai Kabinet kepada Seri Paduka di Istana Abdulaziz di sini.

Kenderaan dinaiki perdana menteri tiba di perkarangan istana pada 10.53 pagi dengan diiringi tiga kenderaan lain dan kawalan polis trafik.

Perdana menteri dipercayai mempersembahkan cadangan senarai itu untuk mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah sebelum diumumkan, yang dijangka pada petang ini.

Pengumuman itu sekali gus akan dapat menamatkan spekulasi mengenai senarai jemaah menteri baharu, memandangkan sebelum ini terdapat beberapa senarai tular di media sosial, namun dinafikan oleh Ismail Sabri yang meminta masyarakat menunggu senarai rasmi daripada beliau.

Desas-desus kehadiran perdana menteri ke Pahang mula tersebar sejak semalam, menyebabkan perkarangan Istana Abdulaziz mula dikunjungi pengamal media sejak pagi tadi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.