Melaka Peruntuk RM151,500 Kepada 338 Pelajar Cemerlang

MELAKA, 26 Ogos – Kerajaan Melaka memperuntukkan sebanyak RM151,500 kepada 338 pelajar di negeri itu yang memperoleh keputusan cemerlang bagi peperiksaan yang diduduki pada tahun lepas, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata peruntukan yang disalurkan melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) itu merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang pelajar terbabit menerusi Anugerah Pelajar Cemerlang 2020.

“Penganugerahan itu membabitkan pelajar cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar cemerlang yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

“Kerajaan negeri memutuskan untuk memberi RM1,000 kepada pelajar yang mendapat keputusan semua A+ dalam SPM, STPM dan Mumtaz dalam STAM manakala pelajar cemerlang yang berjaya menghafaz 30 juzul Al-Quran menerima antara RM300 hingga RM500 seorang yang dikreditkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) pelajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sulaiman berkata selain itu, pelajar turut menerima sijil penghargaan daripada kerajaan negeri dan cenderahati daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata majlis simbolik penganugerahan berkenaan melibatkan 17 pelajar cemerlang diadakan hari ini mengikut norma baharu di Pejabat Ketua Menteri Melaka di Seri Negeri di sini manakala 321 pelajar cemerlang lain akan menerima anugerah mereka di sekolah masing-masing.

Katanya penganugerahan itu diharap dapat memberi suntikan semangat kepada pelajar di Melaka untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik serta bidang lain.

Sementara itu, Sulaiman berkata kerajaan negeri melalui TAPEM telah membelanjakan sebanyak RM268.33 juta dalam bentuk bantuan, sumbangan dan pinjaman kepada murid dan pelajar di negeri itu sejak 2000.

Beliau berkata antara peruntukan terbesar yang disalurkan dalam tempoh berkenaan ialah pinjaman untuk pengajian tinggi berjumlah RM213.89 juta dan bantuan intitusi pengajian tinggi (sekali beri) berjumlah RM27.93 juta.

Katanya peruntukan yang disalurkan TAPEM merupakan sumbangan pelbagai agensi dan anak syarikat kerajaan Melaka antaranya Majlis Agama Islam Melaka, Yayasan Melaka, Syarikat Air Melaka Berhad dan Hospital Pakar Putra. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.