COVID: Kes Baharu 24,599, Tertinggi Sejak Pandemik Melanda Negara

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Malaysia hari ini merekodkan 24,599 kes baharu COVID-19, angka harian tertinggi sejak pandemik melanda negara tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian data terkini jangkitan COVID-19 di laman Facebooknya berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini meningkat kepada 1,640,843.

Beliau berkata Selangor terus menjadi negeri yang mencatat kes paling tinggi iaitu 6,936 kes diikuti Sabah (3,487); Johor (2,785); Pulau Pinang (2,078); Sarawak (2,024); Kedah (1,538); dan Kelantan (1,312).

Perak pula mencatat 1,170 kes; Kuala Lumpur (881); Pahang (690); Terengganu (567); Negeri Sembilan (526); Melaka (515); Perlis (67); Putrajaya (20); dan Labuan (tiga).

Semalam, Malaysia merekodkan 22,642 kes baharu wabak itu dengan angka harian tertinggi direkodkan pada 20 Ogos iaitu sebanyak 23,564 kes. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.