300 Ahli Skuad Sayang 3k Bantu Mangsa Banjir Di Kedah

BAGAN SERAI, 25 Ogos – Seramai 300 ahli Skuad Sayang 3K (Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan) Wanita UMNO turun padang dalam misi membantu mangsa banjir lumpur di Yan, Kedah susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad berkata misi itu digerakkan dengan mengunjungi rumah mangsa bagi menyerahkan bakul makanan selain membantu membersihkan rumah yang dilanda banjir.

“Saya baru balik dari Yan dan berada di sana selama tiga hari untuk membantu mangsa terlibat.

“Kita juga mengumpul dana daripada pelbagai pihak untuk membeli segala keperluan yang diperlukan mangsa banjir,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di sini hari ini.

Katanya, seramai 30 ahli Skuad Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai turut terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir di Kampung Matang Tengah di sini.

Tragedi fenomena kepala air dan banjir di Kedah pada Rabu minggu lepas meragut enam nyawa serta menjejaskan lebih 1,000 rumah penduduk di daerah Yan dan Merbok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.