COVID-19: 19,807 Kes Baharu Hari Ini, Selangor Tertinggi – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kes harian COVID-19 dalam negara hari ini merekodkan sebanyak 19,807 kes, menurun sedikit berbanding 22,262 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 1,555,093 kes.

Selangor terus menjadi negeri yang merekodkan jangkitan baharu tertinggi dengan 5,379 kes, katanya melalui laman Twitternya.

Selain Selangor, negeri lain yang turut merekodkan kes jangkitan tinggi ialah Sabah dengan 2,638 kes diikuti Kedah (1,948), Sarawak (1,772), Pulau Pinang (1,501), Johor (1,391) dan Kelantan (1,196).

Sementara itu, sebanyak 999 kes direkodkan di Kuala Lumpur, Perak (703), Pahang (598), Melaka (558), Terengganu (534), Negeri Sembilan (508), Perlis (54), Putrajaya (24), dan Labuan (empat).

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan 1,026 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 496 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Beliau turut memaklumkan kes sembuh mencatatkan 18,200 kes, menjadikan kumulatif kes sembuh terkini adalah 1,278,670, manakala kes aktif kini 262,255.

Ketua Pengarah itu berkata daripada 19,807 kes hari ini, sebanyak 343 kes atau 1.7 peratus adalah daripada kategori tiga, empat dan lima, manakala sebanyak 19,464 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

Katanya secara keseluruhan, 16,368 kes atau 82.6 peratus daripada jumlah kes dilaporkan itu tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Mengenai kes kematian baharu, beliau berkata 232 kematian dilaporkan melibatkan 201 warganegara dan 31 bukan warganegara dengan 43 kes diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Mengenai 24 kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham berkata 12 daripadanya melibatkan tempat kerja, 11 komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Berdasarkan data terkini, nilai kebolehjangkitan COVID-19 atau R-Naught (Rt) Malaysia semalam adalah sebanyak 1.04 dengan negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi adalah Perlis dan Sarawak iaitu masing-masing 1.31, diikuti Sabah (1.22) dan Pulau Pinang (1.16).- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.