Kuala Lumpur Capai Imuniti Kelompok – Annuar

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mencapai imuniti kelompok (herd immunity) hari ini apabila vaksinasi COVID-19 kepada penduduk dewasa mencecah 85 peratus, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

“Alhamdulillah, hari ini Kuala Lumpur berjaya mencapai 85 peratus vaksinasi kepada penduduk dewasa. Doakan keadaan Wilayah kita bertambah baik,” katanya dalam hantaran di akaun Twitternya hari ini.

Dalam hantaran sama, Annuar turut menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha membantu rakyat.

Hantaran beliau turut memaparkan Statistik Pemberian Vaksin di Wilayah Persekutuan hingga Sabtu, 14 Ogos yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Di Kuala Lumpur, sehingga Sabtu, sebanyak 1.5 juta penduduk atau 85 peratus sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19. Jumlah ini mengatasi sasaran ditetapkan iaitu 80 peratus atau 1.48 juta penduduk.

Sebanyak 2.5 juta penduduk atau 144 peratus penduduk Kuala Lumpur sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, katanya.

Annuar berkata di Putrajaya, jumlah penduduk yang sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 ialah 81,543 individu atau 74 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 88,000 penduduk atau 80 peratus.

Jumlah penduduk yang sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Putrajaya ialah 120,984 orang atau 110 peratus.

Sementara di Labuan, 92 peratus atau 63,440 penduduk sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.