Kerajaan Pahang Tanggung Kos Jenazah Pesakit COVID-19

KUANTAN, 12 Ogos – Kerajaan negeri Pahang akan menanggung kos pengurusan jenazah pesakit COVID-19 bagi membantu meringankan beban kewangan yang perlu ditanggung waris, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata buat masa ini, pengurusan jenazah diuruskan oleh Kementerian Kesihatan di hospital dengan menggunakan khidmat badan sukarelawan yang mengenakan kadar bayaran tertentu kepada waris jenazah.

Bayaran itu antara lain adalah bagi kerja tayamum, solat, menggali kubur dan pengebumian selain untuk menyediakan kain kafan, keranda serta peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas.

“Dengan keputusan kerajaan negeri, badan sukarela terlibat boleh menuntut bayaran tersebut daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang turut akan mengendalikan sebuah tabung khas berkaitan pengurusan jenazah COVID-19.

“Sebagai permulaan, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah bersetuju menyalurkan RM200,000 ke tabung khas tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata pihaknya juga mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak untuk tabung itu selain JAIP akan meminta semua masjid di Pahang untuk membuat kutipan dalam kariah mereka bagi disalurkan ke tabung tersebut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.