Jangan Penting Diri Sendiri Dan Cemar Dewan, Bincang, Susun Tindakan Kekang COVID-19 – Sultan Johor

ISKANDAR PUTERI, 12 Ogos – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar tidak membawa usul tidak berkenaan, sebaliknya menggunakan sidang kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan membantu rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19.

Baginda bertitah ini bukan masanya untuk berbalah, tetapi masa untuk kesemua 56 ahli Dewan mementingkan nasib rakyat kini yang dalam kesusahan sehingga ada yang kelaparan hilang pekerjaan dan bertarung nyawa akibat wabak berkenaan.

“Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Ini bukan masanya untuk berbalah tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain, apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat tetapi lihatlah, cermin muka sendiri.

“Ingin juga saya ingatkan bahawa Dewan Negeri ini adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk.

“Ini adalah Dewan yang mulia, bukan Dewan sangkar beruk. Ingat pesanan saya tuan speaker. Jalankan keja baik-baik,” titah baginda ketika perasmian persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa baginda tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan Johor.

“Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan Dewan Negeri Johor. Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingaan rakyat,” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah apabila wabak COVID-19 telah terkawal, baginda akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baharu.

“Selepas ini, pilihlah yang betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah baginda.

Persidangan ditangguhkan ke Ahad depan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.