Lapan Lagi Lokaliti Di Sabah Dikenakan PKPD Mulai Jumaat – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Lapan lagi lokaliti di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa Jumaat ini hingga 26 Ogos.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia termasuk tiga lokaliti di Tawau iaitu Kampung Kongsi 8, Kampung Bergosong di Pulau Sebatik dan PPR Taman Sri Apas Batu 8.

Selain itu, dua perumahan ladang di Beluran, Sabah turut dikenakan PKPD iaitu Perumahan Ladang Reka Halus dan Perumahan Ladang Boustead Trunkline.

Lokaliti lain adalah Kampung Kayu Madang, Telipok di Kota Kinabalu, Kampung Batition di Kota Marudu dan Kampung Sunsuron di Tambunan.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini,” menurutnya dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Hishammuddin berkata PKPD di tiga kampung Orang Asli Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan iaitu Kampung Jedip WCT, Kampung Sendrop dan Kampung Seng Sang yang dijadualkan tamat esok akan dilanjutkan hingga 26 Ogos.

Katanya, bagi PKPD di 14 lokaliti di Sabah yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan hingga tempoh sama iaitu Kampung Lahat-lahat, Pulau Sebatik di Tawau serta dua lokaliti di Kinabatangan iaitu Ladang Bukit Mas dan Ladang Linbar 1.

Sebelas lagi lokaliti PKPD yang dilanjutkan adalah di Tuaran melibatkan Kampung Betutai, Kampung Bolong Baru, Kampung Bontoi, Kampung Kindu, Kampung Lapasan, Kampung Serusop, Kampung Sungai Damit, Kampung Timbok, Kampung Simpangan, Taman Sri Rugading dan Taman Telipok Ria.

Beliau berkata PKPD di tiga Kampung Orang Asli Pos Brooke di Gua Musang, Kelantan iaitu Kampung Cekau, Kampung Lojing dan Kampung Penangau ditamatkan mengikut jadual esok.

Penamatan PKPD itu juga melibatkan kawasan di Sabah iaitu dua lokaliti di Papar iaitu Blok Angsana dan Blok Sumboi-sumboi, Kg Seberang Benoni dan Kampung Pengalat Besar, serta tiga lokaliti di Penampang iaitu Apartment Taman Suria, Kampung Mangkadatan Notoruss dan Taman Penampang Fasa 2, katanya.

Selain itu, dua lokaliti di Tawau iaitu Taman Perwira Ranggu dan Blok 5 Kampung Titingan, dua lokaliti di Tenom iaitu Kampung Mamaitom dan SKIM Kuala Tomani, serta dua lagi lokaliti di Putatan melibatkan Kampung Meruntum Fasa 3 dan PPR Sri Keramat.

Lokaliti PKPD lain di Sabah yang ditamatkan esok termasuk Kampung Talantang 1 di Kota Marudu, Kampung Ayer di Kudat, serta empat lokaliti di Sandakan melibatkan Flat LPPB Sri Taman, Lorong 1-8, Taman Kenari, Taman Mawar dan PPR Taman Murni.

Ia juga melibatkan dua lokaliti di Pahang iaitu Taman Amalina Lestari, Raub dan Ladang Bukit Berembun, Mukim Keratong di Rompin, serta satu lokaliti di Sarawak iaitu Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 dan 2, Dalat di Mukah.

Dalam perkembangan sama, Hishammuddin berkata susulan pemeriksaan Pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, sebanyak 33 premis sektor perkilangan dan premis perniagaan diarahkan tutup serta merta manakala 173 individu dikompaun dan 17 lagi direman kerana kegagalan mematuhi SOP.

Beliau turut memaklumkan bahawa semalam, sebanyak 718 individu tiba melalui semua pintu masuk antarabangsa dan setakat ini 10,329 individu tiba dari luar negara masih menjalani kuarantin wajib, yang dilaksanakan di 83 hotel dan 11 Institut Latihan Awam serta institut pengajian swasta seluruh negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.