Hospital Medan MERCY Malaysia Di Melaka Mula Beroperasi Hari Ini

MELAKA, 11 Ogos – Hospital Medan MERCY Malaysia yang dibangunkan berhampiran Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka di sini mula beroperasi dengan menerima pesakit COVID-19 kategori tiga dan empat, hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata hospital sementara yang siap dalam tempoh empat hari selepas mula dibina Sabtu lalu mampu menempatkan maksimum 100 pesakit COVID-19 pada satu-satu masa sekali gus mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka.

Beliau berkata buat permulaan, hospital medan berkenaan menempatkan 75 katil iaitu 45 untuk pesakit lelaki dan 30 lagi bagi pesakit wanita dengan beberapa pesakit mula masuk kira-kira jam 4 petang tadi.

“MERCY Malaysia telah menyediakan beberapa barangan perubatan dan bukan perubatan untuk kegunaan pesakit dan petugas di hospital medan, yang segala kos pembinaan ditanggung sepenuhnya oleh pertubuhan itu.

“Justeru, saya bagi pihak kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Hospital Melaka mengucapkan terima kasih kepada MERCY Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM) kerana merealisasikan pembinaan hospital medan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke hospital medan berkenaan di sini.

Turut hadir Exco Kesihatan Datuk Rahmad Mariman dan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka (Kesihatan Awam) Dr Rusdi Abdul Rahman.

Sulaiman berkata sebanyak sembilan petugas kesihatan akan ditempatkan di hospital medan berkenaan yang dilengkapi dengan pelbagai aspek keselamatan seperti alat penggera dan pemadam kebakaran bagi menjamin keselamatan pesakit dan petugas.

Beliau berkata ketika ini semua pesakit COVID-19 negeri ini hanya dirawat di Hospital Melaka dan Hospital Medan MERCY Malaysia, manakala pesakit bukan COVID-19 ditempatkan di Hospital Jasin, Hospital Alor Gajah dan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak.

“Untuk makluman jumlah kemasukan pesakit COVID-19 di Hospital Melaka pada hari ini adalah 96 pesakit dan Hospital Medan MERCY Malaysia akan membantu melancarkan pemberian rawatan yang lebih selesa,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.