Ubah Suai Van Pelancong Jadi Ambulans, Bantu Hal Kecemasan COVID-19 – TPM

SERDANG, 6 Ogos – Kira-kira 100 van pelancong akan diubah suai menjadi ambulans bagi membantu kes-kes kecemasan membabitkan COVID-19 terutama di Lembah Klang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata langkah dirancang di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley itu susulan situasi semasa pandemik COVID-19 negara, selain aduan kelewatan ambulans untuk mengambil pesakit di rumah yang mengalami situasi seperti sesak nafas dan memerlukan rawatan segera.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata inisiatif itu juga adalah bagi membantu pengusaha van pelancongan yang terkesan akibat kawalan pergerakan ketika ini yang tidak membenarkan aktiviti rentas negeri, sehingga menyebabkan industri pelancongan turut terjejas.

“Kita akan convertkan (tukar) van biasa menjadi ambulans dan kita akan berbincang dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) kerana kita tahu van-van pelancong tidak lagi digunakan buat masa kini kerana pelancongan belum lagi dibuka sepenuhnya kerana masih lagi tiada rentas negeri…jadi pelancongan terkesan begitu teruk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 di sini hari ini.

Turut hadir dalam lawatan kerja itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Ditanya berhubung perkara membabitkan bayaran kepada pengusaha van pelancong terlibat, Ismail Sabri berkata segala terma dan syarat berkaitan akan diperincikan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan MOTAC dalam masa terdekat.

Dalam pada itu Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sebanyak 1,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digerakkan bagi membantu hal-hal berkaitan logistik di PKRC Bersepadu MAEPS 2.0.

Katanya anggota ATM turut digerakkan bagi membantu petugas kesihatan di hospital sekitar Lembah Klang antaranya Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kajang dan Hospital Serdang.

Enggan menjawab hal politik, Ismail Sabri berkata apa yang paling penting baginya sekarang adalah nyawa dan masalah rakyat yang perlu diberi perhatian dalam setiap kerja yang dilakukan.

“Kita mesti beri tumpuan kepada isu yang berlaku hari ini, isu COVID-19 yang melebihi 20,000 kes semalam merupakan satu perkara yang agak menggemparkan dan kita perlu melipatgandakan usaha supaya kes-kes itu dapat dikurangkan, begitu juga masalah ekonomi,” katanya.

Terdahulu Ismail Sabri berkata antara perkara lain yang turut dibangkitan menerusi taklimat yang dihadirinya semasa mengadakan lawatan kerja itu ialah berhubung isu tambahan katil di hospital, bekalan oksigen dan logistik. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.