Kagum Dengan Tindakan Noraini, Bukti Kesetiaan Terhadap Parti – Exco Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni binti Sohar menyatakan rasa kagum dan terharu dengan tindakan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri sebentar tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam itu berkata, hal ini jelas membuktikan kesetiaan Wanita UMNO terhadap parti dikala dihimpit pelbagai tekanan.

Tambah beliau, sebagai Ketua Wanita UMNO Selangor ini adalah saat yang amat dinantikan.

“Terima kasih Datuk Seri Noraini kerana telah meletakkan maruah wanita begitu tinggi dan dihormati.” katanya kepada BNCOMMS.

Terdahulu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan perletakan jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi serta-merta pada Jumaat.

Ketua Wanita UMNO itu meletakkan jawatan sebagai tanda kesetiaan terhadap parti dan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT).

MKT UMNO pada 3 Ogos lalu sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO. – bnnewsonline

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.