Keputusan MKT Berdasarkan Dapatan Dari Akar Umbi – Faizal

PORT DICKSON, 4 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Port Dickson Mohd Faizal Ramli berkata ahli Majlis Kerja Tertinggi parti telah membuat keputusan dengan mengambil kira keluhan dan kekesalan ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan.

Ini katanya berikutan tindakan Perdana Menteri dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri melakukan perkara yang tidak sepatutnya apabila membatalkan Ordinan-ordinan Darurat dengan tidak menyembah takzim terlebih dahulu kepada Yang d-Pertuan Agong, yang mengenepikan Perlembagaan Negara.

“Maka UMNO Bahagian Port Dickson mengambil ketetapan untuk menyokong penuh keputusan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Tan Sri Datuk Mahiaddin Mohd Yasin selaku Perdana Menteri.

“UMNO Bahagian Port Dickson menzahirkan sembah taat setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dengan prinsip Rukun Negara yang kedua.

“UMNO tidak sesekali menderhaka kepada Institusi Raja-Raja Melayu yang merupakan Payung Negara dan sentiasa menunjukkan taat setia tidak berbelah bagi sepanjang masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, bertepatan di dalam Asas dan Tujuan Perlembagaan bahawa UMNO adalah sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu dan Islam demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan tanah air Malaysia.

“Fasal 3.2 Perlembagaan UMNO juga menyatakan bahawa UMNO mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.