UMNOSiswa Sokong Penuh Keputusan MKT

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia (UMNOSiswa) menyatakan sokongan penuh keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini yang mengambil pendirian teguh berpihak kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sesuai dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Kata Presidennya Mubarak Kunyi, UMNOSiswa juga turut menggesa Ahli-ahli Parlimen UMNO mengikut ketetapan parti dengan menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Perdana Menteri.

“UMNOSiswa juga menggesa Perdana Menteri mengambil tanggungjawab penuh dengan meletakkan jawatan atas kegagalan dan keingkaran beliau menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Mubarak, keputusan MKT hari ini menunjukkan bahawa Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti dan keabsahan beliau selaku Ketua Kerajaan.

“Keputusan hari ini juga menunjukkan bahawa UMNO terus menjunjung prinsip Raja Berpelembagaan selaras dengan prinsip dan asas perjuangan parti.

“Daulat Tuanku,” katanya lagi.

Sebagai rekod, UMNO hari ini memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan Kerajaan PN pimpinan Mahiaddin yang ternyata gagal di mata rakyat, selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Demikian tegas Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media yang berlangsung secara maya selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat MKT UMNO, petang tadi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.