UMNO Kota Bharu Kesal PM Membelakangi Kuasa Agong – Mohamad Fatmi

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – UMNO Bahagian Kota Bharu menjunjung titah kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang berasa amat dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa perkenan Baginda yang dibuat oleh Kerajaan Pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Ketuanya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh merasa kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang jelas membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tindakan membatalkan Ordinan Darurat ini amat mengelirukan rakyat malah ia juga melanggar Prinsip Kedaulatan Undang-Undang.

“UMNO Bahagian Kota Bharu menggesa agar Kerajaan bertanggungjawab dan membuat permohonan maaf kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin selaku Perdana Menteri haruslah meletakkan jawatan Perdana Menteri dengan cara yang terhormat.

“Kerajaan sepatutnya berperanan menjaga keharmonian Negara dan bukan menjadi punca kekecohan. Dengan permasalahan pandemik COVID -19 yang semakin meningkat, Kerajaan seharusnya lebih cakna dalam menangani dan memikirkan permasalahan rakyat yang semakin hari semakin terhimpit,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Kata beliau, UMNO Bahagian Kota Bharu juga memberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan dengan kebijaksanaan kedua-dua kepimpinan parti iaitu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Utama Mohamad Hassan selaku dalam menangani isu politik Negara masa kini.

“Kami juga menaruh keyakinan kedua mereka akan mengambil keputusan yang terbaik demi kebaikan parti UMNO khasnya dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.