PKPD Di Lima Lokaliti Libatkan Tiga Negeri – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Lima lokaliti di Sabah, Kelantan dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa Rabu ini hingga 17 Ogos depan, kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini berkata dua lokaliti di Beaufort yang dikenakan PKPD ialah Kampung Selagon dan Kampung Binsulok.

“Dua lokaliti di Kelantan yang dikenakan PKPD ialah Kampung Belian di Mukim Sungai Pinang di Tumpat dan Kampung Tok Sadang di Mukim Badang, Kota Bharu. Turut dikenakan PKPD ialah kuarters pekerja Ladang Palmlyn di Mukah, Sarawak,” katanya.

Menurut Hishammuddin lagi, lanjutan PKPD dilaksanakan di 16 lokaliti di Terengganu, Pahang dan Sabah.

Di Terengganu, ia melibatkan 10 lokaliti di Mukim Kuala Dungun, Dungun berkuat kuasa Rabu ini hingga 16 Ogos iaitu Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak, Kampung Molek, Bijangga, Sungai Udang dan Sungai Penaga, katanya.

Beliau berkata dua lagi lokaliti di Terengganu yang dilanjutkan PKPD ialah Bandar Cheneh Baru dan Felda Neram 2 di Mukim Bandi, Kemaman bermula Rabu ini hingga 17 Ogos.

Hishammuddin berkata lanjutan PKPD untuk tempoh sama turut dilaksanakan di Kampung Bedu, Kampung Temalian dan Kampung Pamah Kulat di Mukim Ulu Dong di Raub, Pahang, manakala di Sabah, melibatkan Kampung Pitur, Kinarut.

Beliau berkata PKPD ditamatkan di 13 lokaliti di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Sabah dan Kelantan berkuat kuasa esok.

Di Pahang, dua lokaliti yang terlibat ialah Kampung Kabang dan Kampung Sat di Mukim Ulu Jelai, Lipis sementara satu lokaliti di Melaka ialah Penjara Sungai Udang (kecuali kuarters penjara) di Melaka Tengah, katanya.

Katanya, lokaliti di Sabah yang ditamatkan PKPD ialah Beverly Hills Fasa 1 dan Cybercity Fasa 2 di Penampang serta Kampung Marau dan Kampung Kebawang di Sipitang, dan juga Kampung Meruntum di Putatan.

Menurut Hishammuddin, empat lagi lokaliti di Sabah yang turut ditamatkan PKPD adalah di Kota Kinabalu iaitu Jalan Kampung Likas Simpang Tiga, Api-Api Centre, Taman Ujana Kingfisher di Likas dan Kampung Salut di Telipok.

Beliau berkata satu lokaliti di Kelantan yang ditamatkan PKPD ialah Kampung Gong Jering di Mukim Bukit Jawa, Pasir Putih.

Mengenai tindakan ke atas pihak yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, beliau berkata, 34 premis diarahkan tutup serta-merta, 348 individu dikompaun dan 27 individu direman. – BERNAMA