96.7 Peratus Penduduk Dewasa Di KL, Selangor Telah Terima Satu Dos Vaksin COVID-19

PUTRAJAYA, 2 Ogos – Sebanyak 96.7 peratus penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin hari ini.

Beliau berkata Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan bermula 26 Julai lepas dan tamat semalam telah berjaya mempertingkatkan jumlah penduduk dewasa di Lembah Klang menerima suntikan vaksin dos pertama, dengan sebanyak 1,655,217 janji temu telah dikeluarkan dalam tempoh pelaksanaannya.

Operasi Lonjakan Kapasiti dilaksanakan sebagai usaha untuk memastikan setiap individu dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang 1 Ogos.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan (DOSM), populasi penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini adalah 6.1 juta.

“Ia telah berjaya walaupun tidak capai paras 100 peratus penduduk dewasa terima satu dos vaksin, kita akan usahakan untuk selesaikan baki yang belum terima vaksin pada minggu pertama Ogos,” kata Khairy dalam sidang media perkembangan PICK di sini hari ini.

Menurut Khairy, kebanyakan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor masih tidak menerima vaksin COVID-19 adalah kerana mereka membatalkan janji temu dan tidak hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) ditetapkan.

Dalam pada itu, Khairy berkata kira-kira 37.5 peratus penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor telah melengkapkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19.  – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.