Segera Selesai Isu Penggunaan Kalimah Allah – UMNOSiswa

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kelab Mahasiswa UMNO (UMNOSiswa) UTM mencadangkan Jabatan Perdana Menteri melalui bahagian Parlimen dan undang-undang serta hal ehwal agama duduk berbincang dan membawa perkara ini ke Mahkamah Rayuan untuk terus mempertahan kalimah suci Allah supaya ianya dapat terus dipelihara.

Jelas Pengerusinya, Ifirdaus Ithanin, ia perlu dilihat dan dinilai dengan lebih terperinci di mana perkara ini bukanlah suatu perkara yang baru namun telah dibincangkan sekian lama oleh para ulama sama ada di peringkat global mahupun di Malaysia sendiri.

“Penggunaan kalimah Allah oleh para penganut bukan Islam di negara-negara timur tengah atau kawasan penduduk berbangsa Arab mungkin tidak menjadi satu persoalan yang besar kerana perbezaan budaya, cara kehidupan, dan sejarah bangsa di sana berbanding dengan negara-negara bukan berbangsa Arab.

“Di dalam konteks selain daripada negara Arab perkara ini menjadi perkara pokok yang perlu dibincangkan dan tidak boleh dipandang sepi. Perbezaan konteks yang jelas seperti penggunaan bahasa dan sejarah bangsa jelas menunjukkan ketidak relevenan untuk masyarakat bukan Islam menggunakan nama Allah sebagai medium pendidikan kerana perkataan Allah tidak sama sekali wujud di dalam bahasa mereka malahan tidak mengerti sekalipun akan maksudnya.

“Walaupun mungkin perkara ini dianggap sebagai perkara kecil oleh sesetengah pihak dan tidak perlu diperbesar-besarkan, namun peranan bahasa adalah besar kerana bahasa merupakan pandangan alam sesebuah masyarakat dibentuk dan ianya akan memberi kesan jangka masa panjang kepada pembentukan satu-satu bangsa dan agama itu sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ifirdaus berkata demikian merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah memutuskan untuk membenarkan para penganut Kristian menggunakan kalimah Allah di dalam bahagian pendidikan dan penerbitan agama.

Tambah Ifirdaus lagi, sesetengah pihak mungkin beranggapan penggunaan kalimah Allah bagi penganut selain daripada penganut agama Islam merupakan satu langkah yang baik kerana ianya merupakan satu strategi dakwah yang berkesan bagi penganut bukan Islam untuk memahami dengan lebih mendalam apakah itu Allah sekaligus dapat mendalami agama islam.

Namun, jika kefahaman dan tafsirannya berbeza daripada apa yang diharapkan maka ia boleh menjadi satu fitnah dan menjadi titik kekeliruan yang besar, katanya lagi.

“Dalam Islam perkataan Allah membawa maksud kepada Allah Yang Maha Esa manakala bagi agama Kristian perkataan Allah membawa membawa maksud kepada ‘Tuhan Bapa’ mengikut salah satu oknum yang terdapat dalam akidah ‘trinity’. Hal ini jelas menunjukkan perbezaan mafhum di antara agama Islam dan agama lain seperti Kristian berhubung pemahaman dan penggunaan perkataan Allah.

“Penggunaan perkataan Allah secara meluas pada agama-agama lain akan mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam seterusnya berpotensi mewujudkan kefahaman-kefahaman baru yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar,” ujarnya.

Seterusnya jelas Ifirdaus lagi, Islam adalah agama murni yang diangkat yang mana di dalam agama Islam terangkum akidah, ibadah, syariat dan akhlak di mana ianya telah diwahyukan oleh Allah SWT.

Ujarnya lagi, hal ini menunjukkan keistimewaan agama Islam yang tidak terdapat dalam agama lain. Nama dan sifat Allah SWT merupakan satu perkara yang ditanzilkan malahan ianya bukanlah wujud daripada proses sejarah dan budaya.

Jelasnya lagi, penggunaan perkataan Allah sebagai nama khas telah dinyatakan di dalam al-Quran iaitu: Allah SWT berfirman maksudnya:
“Katakanlah, Dialah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada Nya segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan Tidak ada seorangpun yang setara dengan Nya”. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.