PRN Johor: Penjelasan Pengerusi BN Tepat, Tepis Kekeliruan Politik
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Penjelasan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi amat bertepatan untuk memperbetul persepsi mengenai status pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.
Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata, tindakan tersebut turut mengembalikan keyakinan akar umbi terhadap kedaulatan dan kekuatan mutlak BN di bumi Johor.

“Kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, dalam memperbetul persepsi mengenai status pentadbiran Kerajaan Negeri Johor adalah satu tindakan yang amat tepat, strategik dan tepat pada masanya.
“Langkah ini bukan sahaja menepis kekeliruan politik, malah mengembalikan keyakinan akar umbi terhadap kedaulatan dan kekuatan mutlak Barisan Nasional di bumi Johor,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, terdapat tiga asas utama ketegasan Presiden parti wajib disokong sepenuhnya oleh seluruh saf kepimpinan dan ahli parti.
“Pertama, memelihara kesucian mandat asal rakyat Johor. Kita harus akur dengan fakta sejarah dan politik bahawa Kerajaan Negeri Johor hari ini dibentuk hasil daripada kemenangan bergaya majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
“Mandat ini diperoleh sebelum landskap politik nasional berubah pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Oleh itu, menegaskan bahawa Johor adalah Kerajaan BN tulen adalah satu kebenaran yang tidak boleh disanggah, sekaligus menghormati pilihan mutlak rakyat Johor yang mahukan kestabilan di bawah panji BN,” katanya.
Tambahnya, langkah Presiden mengekalkan strategi bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah keputusan yang berpijak di bumi nyata.
“Kedua, rasionalisasi pemeliharaan 56 kerusi DUN Johor. Langkah Presiden untuk mengekalkan strategi bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada masa hadapan adalah keputusan yang berpijak di bumi nyata.
“Asas kukuh, BN mempunyai rekod prestasi, kekuatan jentera, dan sokongan akar umbi yang tidak berbelah bahagi di setiap pelosok DUN Johor. Mengekalkan dominasi di semua kerusi ini adalah kunci utama untuk memastikan Johor kekal sebagai kubu kuat dan pemacu kestabilan politik negara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa kerjasama erat Pengerusi BN Negeri dan Badan Perhubungan UMNO membuktikan bahawa sifat parti ini bukan bermusim.
“Ketiga, keunggulan sistem mobilisasi jentera BN. Pujian harus diberikan kepada visi Presiden yang sentiasa memastikan jentera parti berada dalam fasa ‘siap siaga tertinggi’. Kerjasama erat antara Pengerusi BN Negeri dan Badan Perhubungan UMNO membuktikan bahawa BN bukan parti bermusim.
“Sistem kerja yang mantap di mana jentera dari negeri-negeri lain boleh ‘dimobilisasikan’ secara hibrid dan pantas ke kawasan PRK (Pilihan Raya Kecil) atau PRN adalah bukti kekuatan organisasi BN yang tiada tandingan pada hari ini.
“Kesimpulannya, penjelasan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini memberi isyarat jelas bahawa BN sentiasa menghormati kerjasama politik di peringkat Persekutuan. Namun maruah, identiti dan mandat tulen parti di peringkat negeri tetap menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“Seluruh jentera parti di semua peringkat kini harus merapatkan saf dan fokus untuk menterjemahkan amanat ini kepada gerak kerja yang lebih agresif demi mempertahankan kemenangan BN di Johor,” katanya lagi. – UMNO Online
