Pembubaran DUN Bukan Pengakhiran Perjuangan Untuk Rakyat
JERAM PADANG, 5 Jun – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bukanlah penamat kepada khidmat bakti kepada masyarakat, sebaliknya komitmen untuk terus bersama rakyat akan diteruskan demi kesejahteraan penduduk setempat.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, walaupun penggal pentadbiran berakhir susulan pembubaran DUN yang berkuat kuasa hari ini, tanggungjawab dan keprihatinan terhadap rakyat tidak akan terhenti.

Menurut beliau, amanah yang diberikan oleh rakyat sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai wakil rakyat telah memberikan pengalaman yang amat bermakna dalam usaha memperjuangkan pelbagai isu, pembangunan serta kebajikan masyarakat di kawasan Jeram Padang.
“Walaupun Dewan Undangan Negeri telah dibubarkan, komitmen saya terhadap rakyat dan kawasan Jeram Padang tidak pernah berakhir. Saya akan terus bersama masyarakat dan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat selagi diberikan kesempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Jeram Padang yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama sepanjang beliau menggalas amanah sebagai wakil rakyat sejak Ogos 2023.
Mohd Zaidy berkata, setiap pandangan, teguran dan sokongan yang diterima daripada rakyat menjadi panduan penting untuk beliau terus memperbaiki diri dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk kepimpinan negeri, jabatan serta agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, ketua masyarakat, sukarelawan dan jentera parti yang bersama-sama menjayakan agenda pembangunan dan kebajikan di kawasan tersebut.
Beliau juga memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang menjalankan tugas serta berharap hubungan erat yang terjalin dengan masyarakat Jeram Padang akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.
“Sesungguhnya amanah rakyat adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan. Saya amat menghargai peluang yang diberikan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan akan terus menyumbang kepada rakyat walau dalam apa juga kapasiti,” katanya. – UMNO Online
