Bubar DUN N. Sembilan Tergesa-gesa Timbulkan Pelbagai Persoalan – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah mempersoalkan tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dilakukan secara tergesa-gesa hanya beberapa jam sebelum berlangsungnya Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU), sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, sidang khas DKU yang dijadualkan berlangsung hari ini sepatutnya menjadi medan penting untuk membincangkan serta mencari penyelesaian terhadap isu besar yang sedang membelenggu Negeri Sembilan, khususnya berkaitan Institusi Raja dan kedudukan pemerintahan negeri.

Jelasnya, tindakan membubarkan DUN sebelum sidang tersebut berlangsung menimbulkan persoalan besar sama ada kerajaan negeri cuba mengelakkan sesuatu keputusan yang mungkin memberi kesan terhadap kedudukan mereka.

“Persoalannya, mengapa pembubaran DUN dilakukan tergesa-gesa beberapa jam sebelum sidang tersebut (DKU) berlangsung? Mengapa tidak menunggu terlebih dahulu keputusan dan ketetapan yang bakal dibuat oleh DKU sebelum mengambil langkah besar membubarkan DUN.

“Adakah terdapat kebimbangan bahawa keputusan DKU bakal memberi kesan terhadap kedudukan atau tindakan yang telah diambil oleh kerajaan negeri sebelum ini.

“Jika kerajaan negeri benar-benar yakin bahawa segala tindakan yang telah dibuat adalah selaras dengan Perlembagaan Negeri Sembilan dan Undang-Undang Tubuh Negeri, mengapa perlu bertindak pada saat-saat akhir,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada pembubaran tersebut mempunyai kaitan dengan hakikat bahawa 6 Jun merupakan tarikh akhir yang mewajibkan sidang DUN diadakan mengikut kehendak perlembagaan sebelum dewan berdepan risiko terbubar secara automatik.

“Rakyat juga perlu diberi penjelasan sama ada pembubaran ini mempunyai kaitan dengan hakikat bahawa 6 Jun merupakan tarikh akhir yang mewajibkan persidangan DUN diadakan mengikut kehendak perlembagaan, sebelum DUN berdepan risiko terbubar secara automatik.

“Adakah pembubaran DUN ini sah kerana kedudukan isu Institusi Diraja Negeri Sembilan ini masih dalam situasi yang belum ada penyelesaian sehingga hari ini? Tetapi apa yang pasti jika mengikut Perlembagaan Tubuh Negeri Sembilan, pihak kerajaan gagal bersidang Dewan Undangan Negeri dalam masa enam bulan akan terbubar secara automatik.

“Adakah pembubaran ini merupakan langkah pentadbiran yang biasa, atau sebenarnya satu usaha untuk mengelakkan implikasi yang mungkin timbul daripada perkembangan yang bakal berlaku dalam sidang DKU,” katanya lagi.

Ujarnya, apa yang pasti tindakan yang diambil pada saat-saat akhir ini bukan meredakan persoalan yang sedang timbul, malah membuka ruang kepada lebih banyak tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru seluruh jentera Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan terus memperkukuhkan gerak kerja di semua peringkat.

“Gendang dan paluan perang telah dibunyikan. Ayuh kita pastikan gerak kerja BN diperkukuhkan di semua peringkat dalam memastikan mendapat kembali mandat rakyat di pentas demokrasi,” tegasnya.

Tambahnya, rakyat Negeri Sembilan berhak mendapat penjelasan yang telus, jujur dan menyeluruh agar keyakinan terhadap institusi pemerintahan negeri terus terpelihara.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO