Kembalinya Alwiyah Talib Perkukuh UMNO, Keyakinan Terhadap Rumah Bangsa
KUALA LUMPUR, 5 Jun – UMNO mengalu-alukan keputusan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib yang kembali menyertai UMNO selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta meletakkan semua jawatan yang disandang dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta, semalam.
Pengerusi Sekretariat Biro Tugas-Tugas Khas Wanita UMNO Malaysia merangkap Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Faruz Telahah berkata, keputusan tersebut membuktikan bahawa UMNO masih kekal sebagai wadah perjuangan utama orang Melayu dan Bumiputera yang berteraskan agenda agama, bangsa serta tanah air.

Menurut beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Selayang, dalam suasana politik yang semakin mencabar dan dipenuhi pelbagai permainan persepsi serta politik kebencian, UMNO terus berdiri sebagai sebuah institusi politik yang mempunyai akar perjuangan kukuh, pengalaman pentadbiran serta keupayaan membawa kestabilan kepada rakyat dan negara.
“Keputusan yang dibuat oleh YB Alwiyah dipercayai berasaskan pertimbangan demi masa depan rakyat dan pembangunan kawasan DUN Endau. Keutamaan terhadap perpaduan masyarakat, kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik amat penting ketika rakyat mahukan penyelesaian dan bukannya pertelingkahan politik yang berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan kemasukan semula Alwiyah sebagai bukti bahawa gagasan “UMNO: Rumah Bangsa” yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO semakin diterima dan diyakini oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin yang pernah berada di luar parti.
Katanya, konsep Rumah Bangsa bukan sekadar slogan politik, sebaliknya menjadi ruang penyatuan kepada mereka yang ingin kembali memperjuangkan agenda rakyat secara lebih matang, sederhana dan berteraskan kestabilan.
Dalam masa sama, beliau percaya lebih ramai pemimpin dan ahli politik di luar parti, termasuk mereka yang pernah bersama UMNO sebelum ini, akan mengambil keputusan yang sama untuk kembali bersama perjuangan parti.
“Pintu UMNO sentiasa terbuka kepada sesiapa yang ikhlas mahu menyumbang demi agama, bangsa dan negara. Perjuangan memperkasakan Islam, bangsa Melayu serta mendaulatkan institusi Raja-Raja Melayu akan terus menjadi teras perjuangan UMNO,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO akan terus memainkan peranan sebagai Rumah Bangsa yang menyatukan kekuatan rakyat demi masa depan Malaysia yang lebih stabil, makmur dan bermaruah. – UMNO Online
