Melaka Catat Pelaburan Tertinggi Dalam Tempoh Dua Dekad
KUALA LUMPUR, 5 Jun – Melaka kini melakar sejarah baharu apabila mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dalam tempoh dua dekad, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menegaskan bahawa pencapaian tersebut adalah hasil daripada kestabilan dasar, kejelasan hala tuju dan kesungguhan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

“Alhamdulillah, hasil daripada kestabilan dasar, kejelasan hala tuju dan kesungguhan kita pentadbiran Kerajaan Negeri, Melaka kini melakar sejarah baharu apabila mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dalam tempoh dua dekad (20 tahun) mencecah RM14.68 bilion bagi tahun 2025.
“Ini membuktikan keyakinan para pelabur terhadap Melaka semakin kukuh, semakin diyakini, dan semakin dihormati. Kita tidak sekadar bercakap kosong, tetapi kita membuktikannya dengan kerja nyata,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara memaklumkan sebanyak 57 projek telah diproses manakala 39 projek telah diluluskan secara dasar sehingga Mac 2026 melalui inisiatif Melaka Industrial Booster.
“Melalui inisiatif Melaka Industrial Booster, kita terus mempercepatkan proses kelulusan. Sehingga Mac 2026 sebanyak 57 projek telah diproses manakala 39 projek diluluskan secara dasar, melibatkan nilai pelaburan melebihi RM 400 Juta.
“Kerajaan Negeri Melaka akan terus memastikan Melaka kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di rantau ini demi kemakmuran rakyat Negeri Melaka,” katanya lagi. – UMNO Online
