Mesyuarat UMNO Bahagian Ditangguh, Tumpu Persiapan Hadapi PRN Johor
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah bersetuju menangguhkan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian bagi tahun 2026 untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, hari ini.

Menurut beliau, keputusan penangguhan tersebut dibuat bagi membolehkan seluruh jentera dan ahli UMNO di setiap peringkat menumpukan usaha kepada gerak kerja pilihan raya serta memperkukuhkan kesiapsiagaan parti menjelang PRN Johor.
Bagaimanapun, bagi memastikan mesyuarat yang diwajibkan mengikut Perlembagaan UMNO tetap dapat dilaksanakan, MKT telah menetapkan jadual baharu mesyuarat perwakilan yang akan diadakan secara serentak di seluruh negara.
Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda UMNO dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian-Bahagian akan berlangsung pada 17, 18 dan 19 Julai 2026, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian-Bahagian akan diadakan pada 24, 25 dan 26 Julai 2026.
Penetapan tarikh baharu itu dijangka membolehkan parti mengimbangi keperluan memperkukuh organisasi serta memastikan fokus terhadap persiapan menghadapi pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berkesan. – UMNO Online
