PKP 14 Hari Di Enam Negeri Mulai Rabu

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

“Berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan hari ini.

Muhyiddin berkata negeri-negeri yang dikenakan PKP merupakan negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.
Beliau berkata KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP itu akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

Perdana Menteri berkata trend peningkatan kes COVID-19 amat membimbangkan dengan pendekatan tegas perlu bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak itu, sekali gus menurunkan bilangan kes positif harian ke satu tahap yang terkawal dan boleh diurus dengan lebih berkesan.

Beliau berkata kerajaan mendengar keluhan dan cadangan rakyat yang amat bimbang dengan perkembangan peningkatan kes COVID-19 serta memahami beban anggota barisan hadapan, selain kesihatan awam negara yang semakin tenat.
Malaysia mula merekodkan kes harian empat digit bagi COVID-19 pada 24 Okt 2020, iaitu 1,228 kes dan fenomena itu direkodkan setiap hari dengan rekod tertinggi dilapor pada 7 Jan lepas – 3,027 kes.

Dalam gelombang ketiga COVID-19 ini, 476 kluster baharu dilaporkan sehingga semalam (10 Jan) melibatkan 259 kluster tempat kerja (54.41 peratus), peningkatan ketara bilangan kluster baharu berbanding 110 kluster baharu ketika gelombang kedua dengan 25 kluster (22.72 peratus) melibatkan tempat kerja.

“Fasiliti KKM sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari. Our healthcare system is at breaking point,” kata Muhyiddin.

Antaranya, Muhyiddin berkata 15 hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan Unit Rawatan Rapi (ICU)) melebihi 70 peratus selain di Lembah Klang, kadar penggunaan katil ICU di Hospital Kuala Lumpur dan Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.

Beliau berkata lebih 1,450 anggota perubatan di hospital seluruh negara telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas.

“Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal,” katanya.

Perdana Menteri berkata peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata, dengan ia tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

“Situasi sekarang ini amat membimbangkan. Sistem penjagaan kesihatan kita kini mengalami tekanan yang hebat sejak pandemik bermula. Sebagaimana yang saya katakan sebelum ini, perkara yang tidak pernah berlaku dahulu memerlukan langkah yang tidak pernah diambil sebelum ini,” katanya. – BERNAMA