RM122 Juta Untuk Perumahan Kasih Johor 2027, Lebih 41,000 Rakyat Terima Manfaat
JOHOR BAHRU, 20 Nov – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM122 juta bagi meneruskan dan menambah baik inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) pada 2027, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 41,000 rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kesinambungan inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keperluan perumahan rakyat terus diberi perhatian.
Menurutnya, peruntukan yang diumumkan menerusi Belanjawan Johor 2027 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu merangkumi empat komponen bantuan bagi membantu rakyat memiliki kediaman serta mengurangkan beban kos perumahan.
Empat komponen tersebut ialah Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000 kepada 15,000 penerima, Bantuan Masuk Rumah Pertama RM2,000 kepada 6,000 penerima dan Bantuan Sewa Rumah RM2,500 kepada 10,000 penerima.

Turut diperkenalkan ialah inisiatif baharu Bantuan Deposit Sewa Rumah sebanyak RM1,000 yang disasarkan kepada 10,000 penerima.
Mohd Jafni berkata, bantuan deposit itu diperkenalkan bagi membantu rakyat menyediakan wang pendahuluan sebelum memasuki rumah sewa, sekali gus mengurangkan beban kewangan terutama kepada keluarga yang memerlukan.
“Kita mahu bantuan perumahan ini bukan sekadar membantu rakyat memiliki rumah, tetapi turut meringankan beban mereka untuk menyewa dan memulakan kehidupan di kediaman baharu.
“Keutamaan kita adalah memastikan setiap bantuan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dan memenuhi keperluan sebenar mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Johor Lama, Cik Norlizah Noh, pada Persidangan Dewan Negeri Johor.
Dalam pada itu, pelaksanaan PKJ bagi 2026 menyaksikan sebanyak RM157.83 juta diperuntukkan dengan sasaran 44,915 penerima.
Sehingga Oktober 2026, seramai 22,207 penerima telah disenaraikan membabitkan nilai bantuan RM87.779 juta, manakala pembayaran Fasa 7 dijadualkan pada penghujung November ini.
Kerajaan negeri turut menambah baik syarat kelayakan berdasarkan maklum balas rakyat, termasuk menaikkan had pendapatan isi rumah bagi Bantuan Sewa Rumah kepada RM10,000 sebulan serta memperluas kelayakan kepada pelajar IPTA dan IPTS di Johor.
Bagi Bantuan Beli Rumah pula, tempoh Perjanjian Jual Beli diperluas kepada 2022 hingga 2026 dan had harga rumah dinaikkan kepada bawah RM650,000, tertakluk kepada kategori serta syarat kelayakan.
Selain itu, permohonan PKJ secara dalam talian turut dirancang bagi 2027 untuk memudahkan rakyat menghantar dokumen dan menyemak status permohonan.
“Kita mahu memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada menerima bantuan. Daripada membeli rumah pertama, memasuki rumah, membayar sewa sehingga menyediakan deposit, kerajaan negeri komited membantu rakyat pada setiap peringkat keperluan perumahan,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama bersama Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) akan terus diperkukuh bagi memastikan semua bantuan disampaikan secara cekap, teratur dan bersasar demi kesejahteraan rakyat Johor. – UMNO Online
