Tuanku Muhriz Titah Ismail Teruskan Khidmat Sebagai Menteri Besar
SEREMBAN, 20 Nov – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan Datuk Ismail Lasim meneruskan khidmat dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri terus terpelihara.
Ismail ketika mengesahkan perkara tersebut berkata beliau akan memberikan komitmen untuk terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan dengan penuh dedikasi.

“Saya ingin menjelaskan berhubung laporan mengenai surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang bertarikh 16 Nov lepas, saya tidak ada mengemukakan mahupun memberikan persetujuan untuk surat tersebut dikemukakan kepada Tuanku Muhriz,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di sini hari ini.
Terdahulu, Ismail tiba di Istana Hinggap di sini pada 10.17 pagi ini bagi menghadap Tuanku Muhriz susulan kemelut yang melanda negeri ini.
Turut tiba di istana berkenaan ialah Undang Luak Rembau Datuk Hassan Ab Hamid, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Jelebu Datuk Azrin Khairi.
Isnin lepas, Ismail merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas mengangkat sumpah jawatan itu pada 2 Ogos lepas.
Istana Negeri Sembilan pada Selasa memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada hari yang sama, Tuanku Muhriz dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut melanda negeri itu, dengan sesi menghadap berlangsung dari kira-kira 5 petang hingga 6.30 petang. – BERNAMA
