Kerajaan Melaka Terus Komited Martabatkan Syiar Islam
MELAKA, 20 Nov – Kerajaan Negeri Melaka akan terus komited memartabatkan syiar Islam, memperkukuh institusi agama serta memastikan setiap agenda pembangunan negeri sentiasa berpaksikan nilai-nilai Islam.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen itu penting bagi memastikan syiar Islam terus subur di bumi Melaka, selain menjadikan institusi masjid sebagai nadi penyatuan ummah dan pengukuhan hubungan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menyertai kira-kira 1,500 umat Islam dalam Majlis Bacaan Yasin Perdana Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, malam tadi.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Melaka akan terus komited memartabatkan syiar Islam, memperkukuh institusi agama dan memastikan pembangunan negeri sentiasa berpaksikan nilai-nilai Islam,” katanya.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman.
Menurut Ab Rauf, penganjuran majlis itu menjadi wadah untuk seluruh umat Islam menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, selain memohon keampunan, keberkatan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat.
Beliau turut menyifatkan kehadiran jemaah yang begitu ramai sebagai bukti bahawa masjid terus memainkan peranan penting dalam menyatukan umat Islam.
“Alhamdulillah, kehadiran ramai jemaah pada malam ini membuktikan bahawa masjid terus menjadi nadi penyatuan ummah,” katanya.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh; EXCO Agama, Pembangunan
Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup Negeri, Datuk Rais Yasin; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Melaka.
Ab Rauf berharap agar setiap doa yang dipanjatkan dan ayat suci yang dibacakan dalam majlis itu menjadi asbab turunnya rahmat, keampunan serta keberkatan kepada negeri Melaka dan seluruh rakyatnya. – UMNO Online
