Kebajikan Rakyat, Pembangunan Negeri Terus Jadi Keutamaan – Najib Samuri
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Peruntukan pembangunan sebanyak RM1.53 bilion atau hampir 50 peratus daripada keseluruhan Belanjawan Johor 2027 memperlihatkan tumpuan terhadap agenda pembangunan negeri, khususnya dalam memperkukuh infrastruktur dan menyediakan kemudahan kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri berkata, Belanjawan Johor 2027 bertemakan “Johor Maju, Rakyat Sejahtera” yang dibentangkan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.07 bilion.
“Belanjawan kali ini menggariskan 284 tekad di bawah Enam Teras Maju Johor bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Menariknya, sebanyak RM1.53 bilion atau hampir 50 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan diperuntukkan untuk pembangunan, termasuk usaha memperkukuh infrastruktur dan kemudahan rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Menurut beliau, kebajikan masyarakat serta peluang ekonomi turut menjadi antara keutamaan dalam perancangan negeri bagi tahun hadapan.
“Semoga segala perancangan dan inisiatif yang dibentangkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor. Johor Maju, Rakyat Sejahtera,” ujarnya – UMNO Online
