Kenyataan Biadap Terhadap Anggota Keselamatan: Pemuda UMNO Raub Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 12 April – Pemuda UMNO Raub hari ini membuat laporan polis berhubung satu kenyataan salah seorang netizen yang menggunakan nama Zahid Mamat ekoran memuatnaik dalam Facebook group “Penduduk Raub” yang mana dianggap biadap.

Ketua Pemudanya, Fadzli Mohamad Kamal berkata beliau terpanggil untuk membuat laporan polis di IPD Raub berhubung kenyataan berkenaan yang memang terang-terangan berhasrat menghasut rakyat membenci pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, kenyataan tersebut juga berniat jahat dan bertujuan menimbulkan huru-hara serta keresahan dalam masyarakat kerana mengajak rakyat memberontak, memukul pihak keselamatan, melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berhimpun di jalanan.

“Selain itu, kenyataan itu juga jelas menghina pihak PDRM dan ATM kerana menggelarkan pihak keselamatan dengan gelaran ‘babi’.

“Hakikatnya, terlalu besar pengorbanan pihak PDRM dan ATM sebagai barisan paling hadapan dalam tempoh PKP COVID-19 ini.

“Mereka sanggup berpanas dan berhujan 24 jam setiap hari di sekatan jalan raya, berkawal siang malam di semua pintu masuk sempadan negara, meronda di seluruh ceruk kampung, kawasan dan penempatan, semata-mata untuk memastikan keselamatan seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi facebook.

Malah, kata Fadzli lagi anggota keselamatan tidak dibenarkan bercuti sepanjang tempoh PKP ini dan berbulan-bulan lamanya tidak berkesempatan bertemu anak-anak dan isteri.

Tambahnya mereka tidak pernah minta dipuji dan jauh sekali mengharapkan apa-apa balasan dan imbuhan.

“Tapi janganlah hina, keji dan pertikai tugas mereka yang tidak lain tidak bukan bertujuan memastikan kita seluruh rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera. Belajarlah erti syukur dan berterima kasih. Jangan hanya tahu merungut dan mencari salah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.