Apa Jadi Janji 1 Juta Peluang Pekerjaan Untuk Rakyat? 150 Ribu Warga Pakistan PH Bawa Masuk

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar hentikan kemasukan warga asing.

Kata Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, PH perlu hentikan sandiwara dan berterusan menipu rakyat demi kepentingan yang hanya akan membawa mudarat kepada negara ini.

“Pemuda UMNO ingin bertanya kepada PH, apa sudah jadi dengan janji PH berkenaan peluang pekerjaan untuk 1 juta rakyat Malaysia? Belum tunai lagi janji ini sudah buka peluang pekerjaan lain pada warga asing.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH bukan main lantang berjanji kepada rakyat, kononnya jika parti itu memerintah, mereka akan menghantar balik pekerja asing tetapi sebaliknya yang berlaku,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Asyraf mengulas kepada laporan baru-baru ini, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan Amna Baloch dalam kenyataannya dalam portal The Nation memaklumkan 150 ribu warga Pakistan akan dijanjikan kerja di Malaysia di mana memorandum persefahaman (MoU) ini akan ditandatangani oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatannya ke Pakistan akan datang dan perkara ini sudah dibincangkan di peringkat tertinggi dua negara.

Bidas Dr Asyraf lagi, merujuk kepada Janji 35 Buku Harapan muka surat 78 yang jelas menyatakan bahawa, “Pekerja Asing akan dikurangkan secara berperingkat”.

“Kini sudah hampir 21 bulan memerintah, nampaknya kerajaan PH akan sekali lagi ‘u-turn’ janji mereka kepada rakyat.

“Statistik di Malaysia menunjukkan, 3.30% rakyat Malaysia masih tidak mempunyai pekerjaan. Ini bersamaan dengan dengan 1.04 juta rakyat yang masih tidak mempunyai kerja.

“Jumlah pekerja asing di Malaysia setakat hari ini sudah melebihi 2 juta yang direkodkan, ini tidak termasuk jumlah pekerja asing tanpa izin yang tidak mempunyai rekod,” jelasnya.

Dalam kenyataan Amna Baloch itu tambah Dr Asyraf, pekerja yang bakal dihantar ini adalah pekerja yang berkemahiran rendah.

“Sedangkan di Malaysia pekerja-pekerja berkemahiran tinggi pun tidak mempunyai kerja kita masih membuka ruang lagi untuk warga asing untuk bekerja di Malaysia,” katanya lagi. – UMNO ONLINE