PRK Kimanis: Maaf, Kami Tidak Akan Percaya Lagi – Anak Muda


KIMANIS, 8 Jan – Kami tidak akan percaya lagi kepada janji Warisan dan Pakatan Harapan (PH)… ini antara luahan anak muda yang menyuarakan rasa kecewa mereka.

Hal ini berlaku ekoran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu telah menyaksikan tsunami anak muda mahupun perubahan dan akibatnya parti yang telah berjasa lebih daripada 60 tahun iaitu Barisan Nasional (BN) tumbang.

Namun setelah hampir dua tahun PH memerintah kerajaan pusat dan Warisan mentadbir pucuk pimpinan negeri, rakyat khususnya anak muda mula sedar bahawa mereka telah tertipu.

Bagi Mohd Nurhakim Bakron, 19, walaupun masih belum boleh mengundi namun apa yang terjadi dalam lanskap politik tanah air benar-benar membuka matanya sebagai anak muda.

“Masa zaman BN banyak kelebihan untuk anak muda tapi sekarang tiada lagi peruntukan anak muda. BR1M pun sudah dikurangkan… semuanya hanya janji manis,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Pg. Ameir Bazli Abd Halim, 19, turut bersenada, menurut beliau sudahlah kos sara hidup semakin tinggi, bantuan untuk meringankam beban rakyat pula dipotong.

“Sekarang ini saya rasa makin susah. Dulu ada bantuan RM100 untuk pelajar, sekarang sudah tidak ada. Lihat sahaja di Kuala Lumpur, janji untuk hapus tol pun tidak terlaksana.

“Sekarang mereka janji lagi di Kimanis… maaf, kami sudah tidak percaya,” tegas beliau.

Bagi seorang pengundi di PRK Kimanis Awang Azmin, 32, beliau mengaku menyesal kerana terpedaya dengan janji manis PH.

“Sekarang bukan saya seorang tetapi ramai anak muda yang mengeluh, anak muda makin susah. Kali ini saya akan ubah balik,” ujar beliau.

Begitu juga dengan Mohd Fikri Hilmi Hassan, 19, disebabkan telah sedar ditipu maka dirinya kini keluar daripada parti Warisan dan kembali menyokong BN.

“Saya dulu Warisan tapi sekarang saya sudah tidak percaya dengan mereka lagi. Semuanya tipu. Cukup-cukuplah menggunakan kami untuk kepentingan politik,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy